Monday, September 16, 2013

Pembangunan Lestari


Prinsip Pembangunan Lestari
Persidangan Kemuncak Bumi mengenai pembangunan lestari pada musim panas 2002 di Johannesburg, Afrika Selatan memberi satu pandangan yang optimistik terhadap penyelesaian masalah alam sekitar global. Persidangan itu mempunyai objektif untuk terus berusaha ke arah keadilan sosial dan persekitaran untuk semua golongan manusia di dunia, di mana semua orang berhak menikmati pembanguan lestari tanpa mengira jantina, usia, taraf hidup, dan kedudukan geografi. Persidangan itu juga bertujuan memperteguhkan usaha-usaha pembangunan secara lestari dengan meminimumkan pemusnahan atau penurunan kualiti alam sekitar tempatan, wilayah atau global akibat daripada penduduk yang berlebihan, pembasmian hutan, perlombongan, pertanian serta pencemaran tanah, air dan udara. Tujuan lain persidangan tersebut adalah untuk membangun dan menyokong ketetapan antarabangsa dalam pengawalan pemanasan global dan bahan cemar.

Suruhanjaya Dunia mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan (Laporan Brundtland 1987) mendefinisikan pembangunan lestari / mampan sebagai "pembangunan yang membolehkan generasi masa kini memenuhi keperluannya tanpa mengkompromikan kemampuan generasi akan datang memenuhi keperluan mereka".

Mengikut laporan Our Common Future yang diterbitkan oleh The World Commission on Environment and Development (WCED), 1987, pembangunan lestari adalah “pembangunan yang memenuhi keperluan generasi masa kini tanpa mengabaikan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka”. Penekanan utama yang disarankan dalam dasar pembangunan mampan ini ialah masyarakat dunia mestilah hidup dalam had daya tampung (carrying capacity) planet Bumi. Walaupun terdapat beberapa definisi yang berbeza, tetapi dalam kesemua definisi ini terdapat tema yang dikongsi bersama iaitu alam sekitar (environment), kesejahteraan sosial (social/society) dan kesaksamaan ekonomi (equity/economy). 

Aspek-aspek kemampanan untuk tujuan perancangan meliputi Kemampanan Ekologi dari segi Kemampanan Ekonomi, Kemampanan Sosial, Kemampanan Budaya, Kemampanan Pertanian; Kemampanan Alam Sekitar dan Kemampanan Bandar. 






Rajah 1  :  Tiga Sfera Kelestarian


Teras Pembangunan Lestari Tapak Cadangan
Perkara-perkara yang menjadi TERAS dalam menggubal prinsip-prinsip pembangunan lestari dalam konteks pembangunan di Malaysia ialah : 
·         Kemandirian kejiranan (neighbourhood self-containment and self-sufficiency); 
·         Kesejahteraan sosio-budaya; 
·         Kelestarian alam sekitar;
·         Permuafakatan dan interaktiviti warga kejiranan;
·         Kecergasan fizikal / gaya hidup sihat;
·         Keselamatan jiwa dan harta benda;
·         Persatuan penduduk yang demokratik dan berekuiti (equitable);
·         Pembangunan berteknologi hijau;
·         Keceriaan;
·         Kediaman mampumilik (affordable living).

1.    Kemandirian Kejiranan
Sebuah kejiranan yang lestari harus bersifat mandiri dan boleh menampung keperluan tempatan. Dalam konteks ini, matlamatnya ialah untuk mengintegrasikan semua aspek komuniti perbandaran – perumahan, infrastruktur dan utiliti, perniagaan, rekreasi dan kawasan hijau – dengan amalan-amalan dan garis panduan-garis panduan perancangan lestari dan mempunyai kedudukan dalam jarak berjalan kaki atau sekurang-kurangnya berbasikal/bermotosikal.

Kejiranan yang mandiri (self-contained) haruslah mempunyai ciri-ciri komponen guna tanah yang seimbang dan memenuhi konsep lestari iaitu alam sekitar (kawasan lapang/hijau dan pengekalan topografi),  penduduk/sosial (kemudahan awam dan rekreasi) dan ekonomi (perniagaan, perindustrian, tempat kerja). Penghuni di kejiranan ini tidak perlu melakukan perjalanan yang banyak dan jauh untuk mendapatkan keperluan mereka. Secara langsung, ini akan mengurangkan pengeluaran karbon dan carbon footprints serta meningkatkan dayamilik (affordibility) kediaman. Oleh yang demikian, kejiranan lestari harus lebih padat, mesra pejalan kaki dan mempunyai kepelbagaian guna tanah. 


Rajah 2  :  Komponen sebuah kejiranan 'walkable' yang lestari



Rajah 3  :  Jalinan/hubungkait antara komponen dalam sebuah kejiranan 'walkable' yang lestari

2.   Kesejahteraan Sosio-Budaya 
Ciri ini juga adalah berkaitan dengan matlamat asas pewujudan konsep kejiranan (neighbourhood) oleh Clarence Perry di awal kurun ke-20 iaitu “…planned communities based upon many of the concepts tenets, due to consumer demand for the idealistic community intimacy associated with living with heteronormative homo reciprocans of similar socioeconomic status..”, walaupun nilai-nilai masyarakat tempatan adalah berbeza dan lebih menjurus kepada kelestarian alam sekitar dan nilai murni yang dikongsi bersama (shared values). 

Penduduk bebas menghayati cara hidup serta bebas mengamalkan kebudayaan masing-masing dengan saksama mengikut lunas-lunas etika yang diterima, di samping menghormati cara hidup dan kebudayaan warga komuniti yang lain. Kesejahteraan sosio-budaya ini akan memperkaya ciri-ciri sosio budaya tempatan dan mewujudkan “a sense of place”... 

Illustrasi 1 :  Gambaran sebuah “streetscape” di kejiranan lestari – 
menetap, bekerja, bermain, belajar, berniaga dan membeli-belah 
dalam lingkungan jarak berjalan kaki 


3.    Kelestarian Alam Sekitar 
Kelestarian alam sekitar akan dicapai melalui beberapa inisiatif iaitu :
  • Pembangunan yang mengambil kira dan disesuaikan dengan cerun dan lereng bukit untuk mengelakkan kerja-kerja pemotongan bukit secara berleluasa yang akan mengubah struktur muka bumi di tapak cadangan serta menepati kehendak-kehendak garis Panduan Pembangunan Tanah Tinggi dan Lereng Bukit yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Semenanjung Malaysia.
  • Pengekalan hutan sebagai kawasan tadahan hujan, kawasan zon penampan, penstabil cerun, penyaman suhu dan kawasan riadah.
  • Pengekalan saliran bermusim dan saliran semula jadi di tapak pembangunan.
  • Memperuntukkan lebih banyak kawasan lapang yang berfungsi (functional open spaces) sebagai kawasan rekreasi yang disepadukan dengan takungan air hujan (onsite stormwater detention) sebelum disalirkan ke badan-badan air selaras dengan kehendak Manual Saliran Mesra Alam (MASMA) yang dikuatkuasakan sejak tahun 2001. 
  • Tiada pemotongan pokok-pokok yang mempunyai ukurlilit (girth) melebihi 0.8 m selaras dengan peruntukan seksyen 35, Bahagian VA, Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1971 (Akta 172). 
  • Pengekalan dan pemuliharaan monumen sejarah / bangunan warisan (jika ada). 
  • Menggunakan teknologi hijau dalam pembangunan (misalnya : penerapan kecekapan tenaga  [energy efficiency (EE)], tenaga diperbaharui [renewable energy (RE)], parkir hijau (green parking), Indeks Bangunan Hijau (Green Building Index – GBI); sistem penuaian air hujan (rainwater harvesting system), penggunaan sistem binaan industri (Industrialized Building System - IBS) mesra alam dan sebagainya.

Illustrasi 2 :  Bosco Verticale (Vertical Forest) – 
binaan 27 tingkat di Milan, Itali yang diilhamkan oleh Stefano Boeri 
bertujuan meningkatkan biodiversiti bandar


4.      Permuafakatan dan Interaktiviti Warga Kejiranan 
Dalam konteks perancangan fizikal, intisari permuafakatan dan interaktiviti kejiranan ini adalah lebih menjurus kepada penyediaan ruang-ruang fizikal dan kemudahan-kemudahan awam yang boleh dijadikan wadah untuk berinteraksi.

Contohnya :
  • Mengadakan balai komuniti untuk Jawatankuasa Kejiranan berbincang dan memupuk tanggungjawab bersama untuk memastikan kelestarian kejiranan mereka. 
  • Membina plaza awam bagi penduduk menjalankan kegiatan sosial, kebudayaan dan pendidikan. Plaza awam ini hendaklah mempunyai akses yang selamat dari laluan pejalan kaki, menyediakan ruang untuk menampung kepelbagaian aktiviti dan menjadi titik tumpu (focal point) yang menarik, yang boleh kelihatan daripada mana-mana jalan/laluan utama.




Illustrasi 3 :  Contoh plaza awam

  • Membina kompleks sukan yang dapat memperkukuhkan hubungan kejiranan melalui sukan dan aktiviti rekreasi.

5.    Kecergasan Fizikal / Gaya Hidup Sihat
Sebuah kejiranan lestari mestilah memperuntukkan ruang yang cukup untuk warga komuniti bersenam, beriadah dan berjalan kaki dalam suasana yang selamat dan selesa.

Foto 1  :  Outdoor fitness station


6.    Keselamatan Jiwa dan Harta Benda
Sebuah kejiranan lestari adalah sebuah kejiranan yang selamat. Kejiranan selamat bolehlah didefinisikan sebagai : 
  • Kejiranan yang bebas dari keganasan (violence) merosakkan harta benda dan nyawa seperti gejala ragut, pecah rumah, kecurian dan sebagainya.
  • Kejiranan yang bebas dari kemusnahan dan malapetaka ekoran bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.
  • Kejiranan yang bebas dari kemerosotan sosial dan moral (social and moral decay) seperti penagihan dadah, kecurian, jenayah kolar putih, rasuah, salah guna kuasa, hilang integriti dan sebagainya.
  • Kejiranan yang bebas dari kemalangan dalam dan luar bangunan seperti kemalangan jalan raya, jatuh dari bangunan, kebakaran dan sebagainya. 

7.    Persatuan Penduduk yang Demokratik dan Berekuiti (Equitable)
Pembangunan lestari mempunyai kecenderungan untuk meningkatkan kos pembangunan melalui proses gentrification (pihak yang mempunyai wang membeli hartanah di kawasan yang masih bernilai rendah untuk tujuan mengaut keuntungan), penggunaan bahan binaan hijau, penyediaan komponen perumahan lestari dan penyelenggaraan. Ini memerlukan persatuan penduduk dan Pesuruhjaya Bangunan (Commisioner of Building) yang lebih demokratik dalam menentukan dan memantau kesaksamaan di kalangan pemegang ekuiti serta perkongsian kos penyelenggaraan.


8.    Pembangunan Berteknologi Hijau
Kejiranan yang lestari adalah kejiranan yang menerapkan teknologi hijau. Pada November 2011, Kerajaan telah memperkenalkan Garis Panduan Perancangan Kejiranan Hijau sebagai langkah untuk menangani isu perubahan cuaca dan pemanasan global secara berkesan melalui sistem perancangan bandar. Garis panduan tersebut akan dijadikan asas rujukan dan instrumen untuk memacu perancangan pembangunan serta mewujudkan kejiranan hijau di Malaysia, termasuk pengurangan karbon yang dinilai melalui “rangka kerja perbandaran karbon rendah” oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA). 

Foto 2  :  Bangunan berteknologi hijau


9.    Keceriaan
Keceriaan memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam pewujudan kejiranan yang lestari. Penataan landskap (softscape dan hardscape) yang teratur dan rapi serta berwarna warni berupaya meningkatkan tahap dayahuni (livability) sesebuah kejiranan.

Foto 3  :  Pengolahan warna-warna ceria dalam penataan landskap kejiranan


Foto 4  :  Demi masa... Elemen landskap yang mampu 
mewujudkan keceriaan dan berbentuk informatif


10.  Kediaman Mampu-Milik (Affordable Living)
Kehidupan mampumilik (affordable living) adalah aspirasi untuk hidup dalam lingkungan keupayaan seseorang sama ada dari segi kewangan, persekitaran, sosial dan ekonomi. Ia juga bertujuan untuk memastikan kehidupan yang berekuiti, pelbagai dan lestari boleh dicapai dan disepadukan dalam perancangan, pelaksanaan, penyelenggaraan dan penggunaan/ pembangunan semula sumber-sumber.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WHO) menjelaskan bahawa sumber-sumber asas untuk sebuah kehidupan adalah keamanan, tempat tinggal, pelajaran, makanan, pendapatan, ekosistem yang stabil, sumber-sumber lestari, keadilan sosial dan kesaksamaan ekonomi. Sebuah kehidupan adalah mampumilik apabila seseorang mendapat akses kepada keperluan-keperluan asas tadi pada harga yang munasabah dan apabila ada keyakinan terhadap masa hadapan.

Walau bagaimanapun, sekiranya kos sara hidup adalah terlalu tinggi, sebahagian daripada keperluan asas tadi tidak mampu dinikmati oleh sesetengah golongan, atau harga yang terlalu tinggi terpaksa dibayar untuk menikmati hidup di masa kini, menghapuskan keupayaan untuk menyumbang ke arah masa depan.

Prinsip mampumilik ini dipertimbangkan dalam cadangan sesebuah pembangunan dengan tujuan supaya pembangunan yang dijalankan atas nama “lestari” tidak hanya mampu dimiliki oleh segelintir golongan yang “rich and famous”. Peningkatan nilai tanah dan kos bahan binaan seringkali dijadikan alasan mengapa kediaman mampumilik yang lebih lestari tidak dapat disediakan. Walau bagaimanapun, suatu “toolkit” ke arah menangani isu ini perlu dikaji dan disediakan untuk memandu arah pembangunan mampumilik yang lestari. Kepelbagaian jenis perumahan mungkin boleh diperkenalkan di mana kos pemajuan boleh di”cross-subsidize” dengan jenis perumahan yang lebih mewah.



Rajah 4  :  Faktor-faktor yang menyumbang ke arah kehidupan mampumilik 

No comments:

Post a Comment