Saturday, November 16, 2013

PERANCANGAN BANDAR DAN POLITIK DI MALAYSIA



Jam di meja tulis menunjukkan waktu telah melewati tengah malam dan fikiran masih menerawang mencari idea tentang tugasan yang perlu disiapkan, bila mata tiba-tiba tertumpu kepada iklan cerita “Highland Towers” di pawagam. Sekaligus teringat pelawaan rakan-rakan untuk menonton filem yang sedang hangat ditayangkan ini. Dan sekaligus juga tercetus di benak saya untuk menulis sesuatu yang ada kaitan dengan tragedi yang menimpa Blok 1, Kondominium Highland Towers, Ulu Kelang pada 11 Disember 1993 dulu. Saya tertarik untuk mengimbau kembali peristiwa tragis ini bukan bertujuan kerana untuk disensasikan selepas 20 tahun ianya berlalu. Bukan juga kerana temasnya sambutan Halloween pada bulan November ini, bahkan saya bukanlah penggemar cerita-cerita genre seram sedemikian,  tetapi kerana ia disifatkan sebagai bencana alam terburuk dalam sejarah perancangan pembangunan di Malaysia dan menimbulkan banyak kontroversi. Pelbagai pihak menuding jari meletakkan kesalahan dan kebertanggungjawaban di bahu segolongan pihak lain, yang berakhir dengan keputusan mahkamah pada 12 Ogos 2000 memerintahkan 10 defendan yang didakwa membayar sejumlah RM52 juta kepada 78 keluarga mangsa tragedi tersebut selepas perbicaraan selama 8 tahun.

Bermacam andaian dibuat, pelbagai teori diketengahkan, tentang bagaimana mala petaka hebat ini boleh berlaku. Maka, seorang demi seoranglah para akademia, cerdik pandai, cendekiawan, ilmuwan, tampil berhikayat tentang anatomi tujuh petala bumi, tentang bukit-bukau sebagai pasak bumi, tentang aliran air bawah tanah yang memberontak tidak mampu dibendung lagi, lantas menerjah tembok-tembok yang “memenjara” mereka untuk lepas bebas mengalir sebagaimana layaknya seorang warga yang merdeka. Dan, di masjid-masjid, di surau-surau dan di majlis-majlis ilmu penuh sesak dengan “insan-insan kerdil” yang “menganiayai diri sendiri” lalu berkhutbahlah para imam dengan nada sendunya yang menusuk kalbu, lantas bergemalah sedu sedan di segenap pelosok masjid dan surau yang mulia itu, serta basahlah hamparan sejadah dan permaidani dengan air mata keinsafan – kiamat telah hampir, inilah antara tanda-tandanya. Di corong radio dan di kaca tv plasma 40” ahli politik dan pemuka-pemuka agama kelihatan begitu akrab, berdakap “semut” menjunjung perjuangan atas semangat kemanusiaan dan ukhuwwah sejagat, untuk “membetulkan yang biasa, membiasakan yang betul, tanpa batas-batas ideologi”. Pak Menteri pun menggenggam tangan, mengangkatnya ke udara, lantas menyeru dengan suara paling nyeri meremangkan bulu roma, “Kita tidak akan merelakan tragedi ini berulang kembali, kita tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan mana-mana juga pihak yang tidak menghormati undang-undang dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sekeras-kerasnya terhadap pihak-pihak yang cuba untuk membuat kerosakan sehingga meragut nyawa orang-orang yang kita kasihi. (Pak Menteri berhenti sejenak, mengeluarkan sapu tangan yang dipupuk haruman Mont Blanc untuk menyapu “air mata buaya”-nya) dan memandang kamera dengan mata berkaca. Kita yang kagum dengan Pak Menteri terkesima dengan semangatnya yang jitu, bersyukur kepada Allah, dan memanjatkan doa semoga tiada lagi tragedi seumpamanya berlaku di negara kita yang berdaulat dan bertuah ini.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) selaku pihak berkuasa perancang tempatan bernasib baik kerana telah dibebaskan dari sebarang liabiliti oleh mahkamah atas alasan “Majlis Perbandaran tersebut dilindungi daripada dikenakan tindakan undang-undang bagi tuntutan ganti rugi tertentu kerana tugas mereka yang utama ialah untuk memberikan perkhidmatan kepada orang awam, yang jauh melebihi kepentingan membayar ganti rugi semata-mata atas kehilangan ekonomi sesetengah golongan yang ternyata lebih berada daripada majoriti penduduk dalam kawasan tadbirannya,” sebagaimana kenyataan Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamad yang dilaporkan dalam dada akhbar arus perdana. Tiada sabitan, Alhamdulillah.

Namun, rakyat Malaysia yang kebanyakannya sedang enak dibuai mimpi dikejutkan sekali lagi pada awal pagi Sabtu, 6 Disember 2008, dengan berita kejadian tanah runtuh di kawasan perumahan elit Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, yang mengorbankan 5 nyawa. Kawasan bencana ini terletak hanya kira-kira 1.5 kilometer dari “ground zero” runtuhan Highland Towers pada Disember 1993, iaitu kira-kira 15 tahun sebelumnya. Dada akhbar arus perdana dan tabloid picisan masing-masing berlumba-lumba mendapatkan “scoop” terbaik untuk berita panas ini. Media elektronik pula seperti tidak puas-puas memaparkan “footage” bencana ini. Apa tidaknya, hanya dua hari sebelumnya, 300 orang telah diarah mengosongkan dua blok bangunan di Jalan Semantan, apabila sebahagian daripada tembok penahan parkir kereta di bangunan tersebut runtuh disebabkan pergerakan tanah pada bahagian tembok tersebut.

Dan kita pun berkabung lagi… buat seketika. Bila puing-puing runtuhan telah tiada, maka kita pun sekali lagi merasa selesa, seolah-olah peristiwa yang berlaku hanyalah mimpi semata-mata. Demikianlah lazimnya masyarakat kita ini terlalu mudah lupa. Kita jarang mengambil iktibar pada peringatan pertama. Dan seolah-olah juga telah menjadi budaya kita sering kali suka meletakkan kesalahan kepada pihak lain, sedangkan tanggungjawab memelihara alam sekitar itu adalah tanggungjawab kita bersama, kerana alam ini bukan milik peribadi.

Seperti soalan yang dilontarkan oleh Sazali kepada bapanya dalam filem “Anakku Sazali”, “Siapakah yang bersalah dalam perkara ini?” Dan seolah-olah telah terbudaya, menjadi suatu trend yang “mainstream”, kesalahan diletakkan di bahu Pihak Berkuasa Tempatan, walaupun hakikatnya banyak lagi pihak, sama ada Jabatan Kerajaan, badan berkanun maupun agensi berkepentingan Kerajaan yang terlibat memberi kelulusan kepada pembangunan yang dirancang. Kita ambil contoh senario tragedi di Bukit Antarabangsa :

Garis Panduan Pembangunan Bukit telah dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 1997 selepas peristiwa hitam keruntuhan Highland Towers. Dan kemudian menyusul pula Garis Panduan Pembangunan di Kawasan Tanah Tinggi oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam tahun 2005. Persoalannya, sejauh manakah garis panduan-garis panduan ini dirujuk, dipatuhi dan dilaksanakan dalam mempertimbangkan sesuatu permohonan pembangunan tanah tinggi dan bukit? Apakah yang terjadi kepada garis panduan tersebut sehinggakan di kala berlakunya musibah tanah runtuh, bangunan runtuh dan sebagainya, rata-rata membuat kesimpulan bahawa “pembangunan yang dijalankan tidak mengikut garis panduan”? Di manakah terletaknya “kekuatan” garis panduan tersebut”? Di muka hadapannyakah? Atau di kandungannyakah? Ia terlalu kecil untuk jadi “gajah putih”, tetapi mungkin setakat pelengkap koleksi pustaka dan kutub khanah. Kewujudannya begitu tidak ketara dan tidak memberi impak terhadap pembangunan kawasan cerun dan lereng bukit.

Kemudian, Negeri Selangor, yang lebih “senior” dari negeri-negeri lain di Malaysia dari segi kepesatan pembangunannya, mengorak langkah mula apabila Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor Bil. 6/2008 yang bersidang pada 2 April 2008 memutuskan bahawa kawasan bercerun Kelas III dan IV TIDAK BOLEH DIBANGUNKAN (menunjukkan betapa pentingnya keputusan ini…) di Negeri Selangor. Namun demikian, keputusan tersebut tidak disokong oleh pihak REHDA (Real Estate and Housing Developers’ Association), pemaju dan pelabur, kononnya keputusan tersebut menyebabkan kesulitan dan kekangan pembangunan. Walau bagaimanapun, tragedi di Bukit Antarabangsa yang berlaku 8 bulan selepas keputusan MMKN itu disangkal, sesungguhnya mempunyai rahmat yang terselindung. Ekoran dari peristiwa itulah, Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pembangunan Tanah pada 26 Mac 2009 telah bersetuju menimbang pelaksanaan di kawasan bercerun Kelas III (melebihi 25o) dengan syarat garis panduan pelaksanaannya perlulah disediakan.

Serentak dengan itu, di peringkat nasional pula, inisiatif yang serupa telah diambil oleh Kerajaan Persekutuan di bawah teraju Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia untuk menyelaraskan kembali garis panduan – garis panduan yang sedia ada untuk digabungkan menjadi satu garis panduan baharu dijenamakan kembali sebagai “Garis Panduan Perancangan di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi”dan diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 12 Ogos 2009 dan Majlis Negara untuk Kerajaan Tempatan pada 17 September 2009.

Justeru, di Negeri Selangor yang memang menanti-nantikan kehadiran garis panduan tersebut, bersidang dan berbengkellah para pemikir dan perencana pembangunan untuk menghalusi dan memuktamadkan citra karya Garis Panduan Perancangan Pembangunan di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi Negeri Selangor, 2010, yang kemudiannya diluluskan oleh MMKN Bil. 11/2010 pada 24 Mac 2010. Berteraskan tiga prinsip utama iaitu keselamatan risiko bencana geologi, pengurusan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dan kebolehlaksanaan pembangunan. Segala kemungkinan diterokai untuk memastikan nasib malang seumpama di Highland Towers dan Bukit Antarabangsa tidak menimpa lagi.

Namun demikian, kita masih lagi mendengar, menatap dan membaca berita-berita sedih perihal bencana. Mutakhir, pada 23 Oktober 2013, kita dititipkan berita tragedi empangan Sultan Abu Bakar di Ringlet yang mengakibatkan kematian tiga jiwa, amat mengejutkan. Ramai yang menuding jari menyalahkan pengurusan TNB kerana gagal memberikan amaran awal kepada penduduk dan gagal mengawal limpahan air dari empangan tersebut. Pun begitu, ramai juga dalam kalangan masyarakat tempatan juga yang menyifatkan mala petaka tersebut sebagai pembalasan alam terhadap kerakusan manusia menggondol bukit bukau dan cerun-cerun atas dasar meningkatkan asas ekonomi tempatan. Kerakusan ini yang membawa padah apabila aliran air hujan tidak lagi dapat dibendung menyebabkan pintu empangan terpaksa dibuka untuk membebaskan isipadu air luar jangka. Jika perkara itu tidak dilakukan, keempat-empat pintu alur limpah empangan itu akan terbuka secara automatik dan mengakibatkan banjir lebih buruk. 

Persoalannya, adakah tragedi ini dapat dielakkan sekiranya aktiviti penduduk tempatan Cameron Highlands terkawal dan berhemah, justeru tidak menyebabkan sungai cetek sehingga tidak dapat menampung limpahan air? Dan apakah tiada pemantauan terhadap aktiviti pemajuan tanah secara haram yang khabarnya semakin berleluasa? Mengapakah ada petempatan penduduk berhampiran empangan? Dan apakah lagi yang boleh dikatakan tentang sikap buruk segelintir penduduk Cameron Highlands jika di dalam Empangan Sultan Abu Bakar yang tercemar bukan sahaja kerana mendapan akibat aliran lumpur daripada kerja-kerja tanah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, terdapat barangan buangan yang tidak sepatutnya berada di dalamnya seperti peti sejuk, televisyen, sofa dan tilam buruk, selain tong gas terpakai, hingga memburukkan lagi pencemaran di empangan bagi menjana elektrik hidro milik dan seliaan Tenaga Nasional Bhd (TNB) itu? Agaknya, inilah sejarah terburuk pernah berlaku yang melibatkan Empangan Sultan Abu Bakar yang telah dibina sejak tahun 1962 itu. 

Apa yang mengecewakan pula ialah sikap parti politik tertentu yang selama ini asyik dengan gelagat mempertahankan penanam sayur dan bunga ini demi populariti mereka di sana. Lalu seringkali, kerja-kerja penguatkuasaan seperti hendak merobohkan bangunan-bangunan kekal yang dibina secara haram di atas tanah-tanah kerajaan seperti rizab jalan atau sungai; selalu sahaja terpaksa dihentikan ekoran bantahan dan saranan daripada parti politik berkenaan. Malah, atas permintaan parti politik yang sama jugalah beberapa tahun lepas, maka kerajaan negeri terpaksa akur bagi melanjutkan tempoh pembaharuan Lesen Menduduki Sementara (TOL) oleh penanam-penanam daripada asalnya setahun sekali, kepada dua tahun sekali. Kononnya, agar tidak membebankan penanam-penanam untuk melakukan urusan pembaharuan, yang dengan tempoh dua tahun dapat memberi kelegaan kepada mereka untuk tenang bertanam dalam tempoh yang dipanjangkan itu. Demi populariti kononnya tetapi, tidak juga memperolehinya seperti mana keputusan pilihan raya umum Mei lalu yang menyaksikan calon yang disokong oleh parti itu tidak terpilih untuk mewakili kawasan di situ. 

Begitulah juga dengan sikap beberapa badan bukan kerajaan (NGO); setiap kali kejadian buruk menimpa, merekalah juga yang akan menampakkan diri sebagai juara dengan mengeluarkan kenyataan yang asyik menuding jari ke arah kerajaan semata-mata. Yang ironinya, akhbar milik parti politik berkenaanlah juga yang gemar menemu-bual NGO-NGO ini, dan hasilnya seperti yang tersiar; salahkan kerajaan. Sedangkan parti politik inilah juga yang memanjakan sangat penduduk di situ khususnya para penanam berkenaan. Bahkan, ada pula di antara NGO-NGO yang dijulang-julang ini - di sebalik kelantangan mereka hingga seolah-olah menampakkan keikhlasan mereka untuk memelihara alam sekitar Cameron Highlands - rupa-rupanya hanya 'kokok sahaja berderai-derai'.

Saya bukanlah seorang penglipur lara yang arif bermain kata-kata. Bukan juga seorang sasterawan yang bijak menyunting karya. Apa yang ingin saya paparkan di atas dengan panjang lebar tadi ialah tentang betapa politik memainkan peranan yang amat penting membentuk dan mewarnai landskap pembangunan di negara kita ini. Sehinggakan atas kecenderungan politik yang bertopengkan kemakmuran ekonomilah, maka Garis Panduan Pembangunan Bukit dan Tanah Tinggi tidak terpakai bagi apa yang ditakrifkan sebagai Kawasan Pengurusan Khas (SMA) (meliputi kawasan Cameron Highlands – Kinta Lojing; Genting Highlands – Bukit Tinggi – Janda Baik dan Bukit Fraser) walaupun ketinggian kawasan pembangunan melebihi 1,000 meter berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 22 Januari 2003. Rancangan pembangunan hanya perlu dirujuk kepada PBT sahaja. Harus diingat bahawa dalam sistem Majlis yang diamalkan oleh PBT, “Majlis” adalah terdiri daripada seorang Yang Dipertua yang dilantik oleh Kerajaan dan wakil-wakil dari komponen parti politik yang memerintah. Maka, keputusan yang dicapai juga akan condong ke arah kepentingan parti dan agenda politik mereka. Kerana itulah juga seringkali kita melihat sesuatu undang-undang, kaedah atau garis panduan itu hanya digubal selepas berlakunya sesuatu tragedi atau bencana sebagaimana yang telah dinyatakan di awal tadi – an afterthought, bukan sebagai langkah proaktif. Kita lebih suka mengubati dari menghindari walaupun pepatah orang dulu-dulu mengatakan “prevention is better than cure”.

Maka, undang-undang pun digubal, garis panduan, piawaian perancangan, KPI dan SOP pun dimuktamadkan, diwartakan dan diterima pakai sebagai dokumen perancangan yang sah. Sebagai anggota Kerajaan “saya yang menurut perintah” pun akur dengan ketetapan yang termaktub di dalam “kitab-kitab” yang, mengikut undang-undang, sentiasa menjadi sumber rujukan, tidak boleh tidak. Sehinggalah pada suatu hari ketika menjelangnya saat pilihanraya, dibawalah suatu kabilah ahlul-bait “the who’s who in the Government” dengan membawa watikah rasmi yang didahului dengan “Salam Mesra dan Salam 1 Malaysia” memohon “jasa baik dan budibicara” PBT  untuk memberi pertimbangan kepada projek yang dicadangkan ini “dengan kadar sesegera mungkin, pada Mesyuarat Jawatankuasa OSC yang akan datang” – fast track - sedangkan tarikh mesyuarat terhampir adalah 3 hari lagi dari tarikh permohonan diterima. Dengan segala kekalutan, pelan-pelan dan Laporan Cadangan Pemajuan bagi projek “mega” ini pun disemak dan diteliti. Tiada apa yang kelihatan melainkan “dateline” yang harus dipatuhi dan angka-angka halus yang perlu diverifikasi kiraannya. Tiba-tiba sahaja semuanya menjadi kelam kabut dan tidak keruan, semata-mata supaya cadangan pembangunan projek mega ini dapat dibentangkan dalam mesyuarat akan datang untuk mendapatkan kelulusan, yang memang telah dimaklumi, hanya sekadar formaliti sahaja. Maka kebarangkalian untuk berlaku kekhilafan adalah sangat tinggi – banyak yang terlepas pandang, tersilap ukur dan tersilap taksir. Projek-projek sedemikian memang mempunyai impak yang besar terhadap “political mileage” ahli-ahli politik tersebut, tetapi di bawah sedar, atau buat-buat tak sedar, ianya mampu juga mengakibatkan kesan yang buruk sama ada terhadap jiwa, harta awam maupun kredibiliti PBT sendiri. Hanya setelah usai semua mesyuarat, barulah jelas di pandangan, banyak yang tak kena, yang sepatutnya ada. Kerja-kerja meremedi (to remedy) ketakakuran bukan sahaja memakan masa, tenaga dan kos tetapi juga menyebabkan PBT berdepan dengan risiko diseret ke Lembaga Rayuan kerana pihak pemohon yang juga “with political interest” terkilan kerana PBT “mengenakan syarat-syarat baru terhadap pelan yang telah diluluskan”. Tidak hairanlah jika sesuatu projek mee segera itu akan segera juga hilang aura kemanfaatannya seperti “choc fudge – sekejap ada, sekejap tak ada” – kerana ianya tidak dirancang dan dibina dengan hati dan jiwa. Ini mengingatkan saya kepada satu pepatah Inggeris, “A house is built by hands, a home is built by hearts”. Sukar untuk diterjemahkan kerana dalam bahasa Melayu ‘house’ dan ‘home’ kedua-dua membawa maksud rumah.

Pengaruh politik dalam perancangan tidak terbatas di situ sahaja, bahkan menular jauh ke dalam urat nadi dan akar umbi perancangan. Misalnya, dalam proses memuktamadkan Rancangan Tempatan, selaras dengan kehendak perancangan yang melibatkan penyertaan awam, suatu Mesyuarat Representasi dan Pendengaran Awam diadakan untuk mendengar dan menimbangkan bantahan-bantahan orang awam terhadap Peta Cadangan dan Pernyataan Bertulis. Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Teknikal telah bersidang terlebih dahulu untuk mengenal pasti sama ada satu-satu bantahan itu berasas atau tidak, dan sama ada boleh dipertimbangkan untuk kelulusan atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, sering kali berlaku di mana bantahan yang tidak disokong akan diterima oleh Jawatankuasa Representasi dan Pendengaran Awam atas pelbagai alasan yang menjurus ke arah kepentingan agenda politik Pengerusi iaitu EXCO yang memegang portfolio Kerajaan Tempatan. Oleh yang demikian, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa di nagara kita ini, perancang yang sebenarnya bukanlah dalam kalangan ahli profesion perancangan bandar tetapi ahli politik, yang mempunyai pengaruh dan kuasa melangkaui profesionalisme dan kepakaran seorang perancang bandar. 

Setelah diluluskan, Rancangan Pemajuan tidak akan terlepas juga daripada campurtangan (intervention) politik. Kerap berlaku di mana keputusan pembangunan yang dibuat oleh Kerajaan tidak selaras dengan ketetapan Rancangan Tempatan yang telah dilulus, malah yang telah diwartakan. Dalam kes cadangan pembangunan Hub Pengajian Tinggi di Pagoh, keputusan untuk mewujudkan suatu pusat pengajian bersepadu telah dibuat di peringkat Kerajaan Pusat, terima kasih kepada Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri Malaysia, dengan hasrat untuk dijadikan catalyst dan impetus pembangunan yang lebih berdaya saing dan berdaya laksana di Kawasan Parlimen Jorak. Cadangan pembangunan tersebut dibuat melalui Private Finance Initiative (PFI) oleh Tetuan Sime Darby Property Sdn Bhd. Tanpa merujuk kepada Rancangan Tempatan Daerah Muar 2002-2015 yang telah diwartakan pada 3 Januari 2008. Tiada salam dihulurkan, tiada perkhabaran disampaikan. Tiba-tiba PBT diundang untuk menghadiri majlis pecah tanah di tapak cadangan iaitu Lanadron Estate (sebahagian dari konglomerat Sime Darby) seluas 4,000 ekar. Persoalannya : di manakah integriti sesebuah rancangan pemajuan sebagaimana yang dimartabatkan oleh subseksyen 18(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976 (Akta 172) yang menyebut bahawa “Tiada seorang pun boleh menggunakan atau membenarkan digunakan mana-mana tanah atau bangunan melainkan menurut rancangan tempatan.” Dan di manakah pula integriti PBT selaku pihak berkuasa perancang tempatan sebagaimana diperuntukkan kuasanya di bawah subseksyen 19(1) Akta yang sama iaitu : “Tiada seorang pun, selain pihak berkuasa tempatan, boleh memulakan, mengusahakan, atau menjalankan apa-apa pemajuan melainkan jika kebenaran merancang berkenaan dengan pemajuan itu telah diberikan kepadanya di bawah seksyen 22 atau dilanjutkan di bawah subseksyen 24(3)” . Maka, untuk mengesahkan (to legalize) tindakan yang telah diambil, Rancangan Tempatan sedia ada telah dibuat pengubahan melalui prosedur perancangan yang biasa.

Mungkin tidak adil sekiranya kita menyalahkan tanggapan bahawa “political leaders are THE decision makers”.  Sebagai penasihat perancangan kepada Kerajaan, seseorang perancang bandar itu hendaklah mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan selok belok perancangan sebagai “core business”. Dalam banyak hal, seseorang perancang bandar yang berjaya hendaklah memainkan peranan sebagai seorang pemimpin, namun masih terlalu ramai ahli profesional ini yang tidak memiliki sifat-sifat kepimpinan yang diperlukan, bahkan bersikap tidak ambil peduli terhadap kepentingan memupuk kemahiran kepimpinan dalam diri mereka sendiri. Masih ramai perancang bandar yang tidak melihat diri mereka sebagai seorang pemimpin, dan mereka tidak berhasrat untuk menjadi pemimpin. Namun apa yang mereka terlepas pandang ialah kita perlulah menjadi pemimpin untuk mempengaruhi pemimpin yang lain – only leaders can influence other leaders…Bagaimana seseorang perancang bandar itu harus berdepan dan bersemuka dengan pemimpin dalam kalangan ahli politik jika mereka sendiri tidak meletakkan diri mereka sejajar – at par – kalau tidak pun lebih baik dari pemimpin politik yang berkenaan. Sewajarnyalah golongan profesional perancangan bandar ini belajar sains dan seni mempengaruhi dan menarik minat orang awam sebagaimana seorang ahli politik. Always watch, and learn the tricks of the trade

Pemimpin yang berkesan dalam bidang perancangan, pembangunan masyarakat dan pembuat dasar, adalah pemikir yang memaklumi masalah khalayaknya, ingin bersama mereka dan merasakan apa yang mereka rasa. Mereka mengambil risiko tetapi tidak memperjudikan prinsip-prinsip yang mereka miliki. Mereka memandang kehidupan dengan pandangan yang holistik dan tidak tertumpu kepada suatu arah yang mereka kehendaki sahaja. Mereka memahami situasi yang lalu untuk dijadikan pengajaran, memaklumi situasi semasa untuk diambil peluang dan mampu menggarap yang bakal mendatang sebagai suatu cabaran, sentiasa bersedia belajar dan mencari jawapan kepada persoalan dan andaian. Semua kemahiran ini bukanlah boleh diraih sehari dua, tidak juga memadai dengan sekadar menonton persembahan PowerPoint dari belakang dewan seminar yang sempit. Seperti juga perancangan, kemahiran kepimpinan haruskan dipupuk, diasuh, dikembangkan dan dihayati. Hanya dengan inilah seseorang perancang bandar itu tidak akan merasa gentar berhadapan dengan pimpinan politik, sentiasa bersiap siaga dan merasa teruja untuk mempersembahkan idea dan berdebat di arena yang setara.

Sistem perbandaran merupakan suatu sistem yang rumit dan unik – terhasil dan terbentuk dari hubungkait antara pelbagai elemen perbandaran. Ia laksana sebuah ekosistem di mana wujudnya hubungan simbiotik antara suatu unsur dengan unsur yang lain. Kita juga harus melihat politik sebagai salah satu unsur pelengkap ke arah ekosistem pentadbiran bandar yang sihat. Segala bentuk kajian perbandaran, tidak kira banci penduduk, perundangan tanah, pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya dan sebagainya tidak akan bermakna jika 'orang politik' tidak dididik untuk bersama-sama memahami prinsip-prinsip perancangan, ekonomi perancangan, undang-undang perancangan, keterlibatan awam dalam perancangan dan paling penting bagaimana menggunakan “tools” perancangan untuk membuat keputusan, termasuk segala potensi dan kekangan yang membatasi pelaksanaan sesuatu projek atau perancangan. Hanya dengan cara menarik mereka untuk mempelajari “the tricks and traits of the trade” untuk menjadi “the Jack of all trades and a master of none”, kemungkinan suatu hari nanti perancang bandar tidak akan melihat campurtangan politik sebagai sesuatu unsur yang negatif. Di waktu itu, bakal berlalulah era di mana perancang bandar hanya boleh mengeluh dan berkata, “Kita hanya merancang, orang politiklah yang memutuskan”… Tetapi kita haruslah tetap ingat bahawa, sebaik mana pun perancangan kita, setinggi mana pun kuasa ahli politik yang memerintah, perancangan dan kuasa Allahlah yang paling ampuh, terbaik dan mengatasi segala perancangan manusia.

Pada masa kini, perancangan bandar di Malaysia dilihat sedang berada di persimpangan masa depan yang sangat mencabar. Perkaitan bandar di negara kita dengan bandar-bandar lain di dunia boleh dilihat melalui kesan yang kita terima apabila berlakunya perubahan iklim, demografi, ekonomi dan politik dunia. Dalam menghadapi cabaran ini, perancang bandar di Malaysia haruslah mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi isu-isu global di peringkat tempatan. Antara penyelesaiannya ialah melalui inovasi perancangan bandar yang teliti dan peka kepada keunikan cuaca, budaya dan geo-politik negara ini. Selain daripada itu, bandar-bandar kita seharusnya bersedia untuk menghadapi era pasca karbon (post carbon era) yang bakal tiba. Era pasca karbon ialah zaman di mana tenaga fosil sudah tidak lagi digunakan di bumi ini. Dan bandar pada zaman ini dikenali sebagai bandar pasca karbon (post carbon city).

Oleh yang demikian, amatlah penting bagi pucuk pimpinan negara, jentera politik dan jentera Kerajaan serta para perancang bandar berjalan sehaluan atas landasan yang sama dan berpandangan jauh bagi menghasilkan perancangan yang strategik dan holistik untuk menghadapi perubahan-perubahan dunia yang tidak menentu. Para perancang bandar yang berwawasan akan menghasilkan bandar yang responsif kepada cabaran masa depan, dan para pemimpin politik akan berusaha ke arah pengwujudan kehidupan yang harmoni sebagai platform untuk menjamin kelangsungan kualiti hidup yang tinggi kepada rakyat, dan kemakmuran negara. 

(Esei ini  merupakan tugasan untuk subjek teori dan Falsafah Perancangan)

No comments:

Post a Comment